Orang ramai menunggu giliran untuk mengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPK Taman Klang Jaya, Klang pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan percuma fasa tiga di lima DUN hujung minggu ini

SHAH ALAM, 16 JUN: Saringan Komuniti fasa tiga akan dilaksana di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencatat peratusan kes Covid-19 lebih lima peratus semasa fasa kedua.

Poster yang dikongsi Dato’ Menteri Besar di Facebook menunjukkan saringan secara percuma anjuran Kerajaan Negeri itu bermula Sabtu ini di DUN Seri Setia dan Taman Medan.

Tiga lagi DUN iaitu Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer, Gombak dilaksana pada Ahad.

“Selain ujian saringan, kit penilaian di rumah juga akan dibekalkan untuk kes-kes positif Covid-19 bagi tempoh kuarantin di rumah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

Program sama akan diteruskan di DUN Kajang pada 26 Jun sementara Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Amirudin sebelum ini mengumumkan peruntukan RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Komuniti fasa tiga membabitkan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Program berkenaan berjaya menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

 


Pengarang :