Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media selepas melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pertama dan Taman Serendah, Sabak Bernam pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sejuta penduduk dapat vaksin belian Selangor

SABAK BERNAM, 2 JUN: Kira-kira satu juta penduduk Selangor dijangka menerima manfaat pemberian vaksin yang dibeli Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perincian lanjut mengenai pembelian vaksin dan kaedah yang bakal diguna akan diumum Selasa depan.

“Lebih daripada sejuta orang akan kita cuba bantu dapatkan vaksin. Selasa ini saya akan umum perkembangan terkini vaksin dalam pengumuman beberapa pakej bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini dan mengagih 750 bantuan makanan dan 1,000 barangan basah sumbangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor kepada penduduk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sempena Program Agihan Bakul Makanan pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, selepas maklumat lengkap pembelian itu diperoleh langkah seterusnya adalah perbincangan antara Kerajaan Negeri dan kementerian yang berkaitan.

“Saya akan berkomunikasi dengan YB Khairy (Jamaludin) dan (Datuk Seri) Dr Adham Baba untuk proses pemberian vaksin yang telah diusahakan Kerajaan Negeri.

“Saya kena aturkan penyelarasan dengan pihak PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) supaya data, maklumat mereka yang divaksin atau tidak dapat diselaras dengan baik,” katanya.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 


Pengarang :