Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada asatizah di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Selaras data agih bantuan kewangan waris pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor sedang menyelaras agihan bantuan kewangan kepada waris pesakit Covid-19 di negeri ini yang meninggal dunia.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya merujuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang memiliki data pesakit maut akibat wabak berkenaan.

“Dalam minggu ini kita akan maklumkan. Jumlah (mangsa) ada dalam data JKNS dan sekarang kita nak tahu di mana mereka (ahli keluarga).

“Maklumat itu bukan mudah untuk dikongsi memandangkan sebahagiannya rahsia. Jadi, kita kena aturkan dengan JKNS untuk pastikan ahli keluarga mangsa dapat dibantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada program Selangor Prihatin Asatizah di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor di sini hari ini.

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan bantuan khairat kematian RM1,000 untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

Inisiatif sebahagian bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :