AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Semoga tiada cedera parah, kejadian tidak berulang

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pihak terlibat dalam insiden runtuhan konkrit lebuh raya dalam pembinaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Sungai Buloh-Kota Damansara tidak mengalami kecederaan parah.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkaitan perlu bertindak segera supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Mendoakan agar semua yang terlibat dalam insiden ini terlindung dari sebarang kecederaan yang serius.

“Saya juga berharap agar tindakan segera boleh diambil bagi memastikan kejadian ini tidak berulang yang akan membahayakan para pengguna serta pekerja terlibat,” katanya menerusi Twitter malam ini.

Dalam kejadian itu, dua pekerja warga Bangladesh dilaporkan mengalami cedera ringan.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan bagi kerja menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.14 malam tadi dan tiba di kawasan terbabit 13 minit kemudian.

 


Pengarang :