Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan ke Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBSA, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 6 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB turun padang tinjau program saringan percuma dua DUN

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa meninjau program Saringan Komuniti yang diadakan serentak di dua lokasi hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memulakan lawatan di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor pada jam 2.45 petang sebelum ke Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong, Ijok.

Beliau memuji masyarakat setempat yang memanfaatkan program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan jangkitan Covid-19.

“Saya difahamkan antara 300 hingga 500 individu sertai saringan di kedua-dua lokasi ini sekali gus membuktikan tahap kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap kepentingan saringan semakin meningkat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan ke Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBSA, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 6 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saringan ini paling tidak dapat kesan sporadik dalam kalangan komuniti kerana varian terbaharu sejak kebelakangan ini menunjukkan ramai yang tiada simptom,” katanya ketika ditemui.

Dalam lawatan selama hampir sejam, Amirudin melihat proses saringan dilakukan petugas kesihatan Klinik Selcare.

Sebelum itu, tinjauan SelangorKini sejak jam 9 pagi mendapati orang ramai yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), menjaga penjarakan fizikal dan menyukat suhu badan.

Lokasi saringan dikawal ketat oleh anggota penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Selangor, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 46 DUN sehingga semalam.

 


Pengarang :