Ahmad Azri Zainal Nor membantu Ibu Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang disahkan mengalami masalah metachromatic leukodystrophy (penyakit saraf) duduk di kerusi roda ketika Penyerahan Bantuan Kerusi Roda Istimewa oleh CSR Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di Seksyen 13, Shah Alam pada 14 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI tempah kerusi roda untuk kanak-kanak alami masalah saraf

SHAH ALAM, 14 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) hanya mengambil masa seminggu bagi proses menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak, Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang mengalami masalah saraf untuk memperoleh kerusi roda.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata tempoh itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan sebelum bertindak selanjutnya bagi menyalurkan sumbangan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

“Kita datang bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan keperluan yang mendesak pada waktu itu adalah kerusi roda jenis ‘custom made’ serta mencari syarikat yang mampu buat barangan tersebut.

“Kemudian kita tempah dan hari ini datang menyerahkannya. Kos kerusi roda ini berjumlah RM5,000,” kata Ahmad Azri Zainal Nor hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan itu kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit iaitu Aidayatul Kamal, 45, dan Mohd Feeza Abdullah, 45, di Seksyen 13 di sini.

Ahmad Azri berkata bagaimanapun sumbangan itu hanya dapat diberikan hari ini kerana tempoh menyiapkannya mengambil masa lebih sebulan selain MBI juga sedang mengusahakan bantuan LZS bagi memastikan Imaylia Zara dibantu menjalani rawatan fisioterapi.

“Di pihak CSR MBI kita sentiasa menerima pelbagai aduan mengenai golongan yang perlu dibantu dan kita akan lawat, tapis sebelum bantuan diberikan,” katanya.

Nur Imaylia Zara mengalami ‘metachromatic leukodystrophy’ atau masalah saraf selepas terjatuh tangga pada Mac tahun lalu dan lama kelamaan kanak-kanak terbabit tidak lagi mampu berjalan serta mengalami masalah pertuturan.


Pengarang :