Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menunjukkan cek cura berjumlah RM35,160 yang diserahkan Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Mohd Rashidi Ruslan (kiri) pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA sumbang lebih RM35,000 untuk tabung kemanusiaan Palestin

SHAH ALAM, 1 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang RM35,160 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan berkata dana dikutip melalui sumbangan kakitangan, ahli majlis dan badan dakwah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak 19 Mei lepas.

Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan

“Penerimaan warga kerja MBSA agak positif walaupun kami terpaksa bekerja dalam kedudukan 20 peratus di pejabat dan tidak menghalang untuk bersolidariti kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tabung berkenaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Rashidi menambah pihaknya juga menzahirkan tanda simpati terhadap rakyat negara itu dengan memasang lampu melambangkan bendera Palestin di Bangunan Wisma MBSA, Seksyen 14 setiap malam sejak 17 Mei lalu.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta.

Hasil kutipan akan digunakan untuk membeli ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Trak (SELaid) dan pek makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

 


Pengarang :