Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 Nik Nazmi Nik Ahmad
AGENDANASIONAL

MKN, ROS arah Kongres Nasional KEADILAN dalam talian ditangguh

SHAH ALAM, 5 JUN: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 dalam talian yang dijadual berakhir esok ditangguh.

Ketua setiausaha pengelola merangkap pengarah kongres berkata penangguhan itu berikutan surat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan makluman lisan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata arahan tersebut bertentangan surat MKN bertarikh 27 Mei yang menyatakan tiada halangan jika penganjuran dibuat dalam talian sepenuhnya.

Sekalipun membuat bantahan, beliau berkata Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memutuskan untuk menangguh kongres berkenaan ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Khas esok menerusi Facebook parti pada 11 pagi 6 Jun,” katanya.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam secara maya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19.

Kongres tahunan ke-15 dimulai dengan persidangan Wanita semalam termasuk ucapan Penasihat parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Hari ini, persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimulai dengan ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.


Pengarang :