PBTSELANGOR

MPK keluar empat kompaun kepada pemilik gudang haram, cemar udara

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan empat kompaun terhadap pemilik premis gudang di Jalan Kem, Pelabuhan Klang kerana beroperasi secara haram.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata premis terbabit menjalankan aktiviti menyimpan arang batu, kontena, palet bahan bakar dan sisa cangkung (tempurung sawi).

“Longgokan bahan dan aktiviti pemindahan ke kontena atau lori menyebabkan pencemaran udara kerana habuk berterbangan sehingga ke penempatan penduduk berhampiran.

“Tindakan dibuat di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK 3) Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) MPK 2007,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Ahmad Fadzli berkata Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan notis pematuhan pembersihan kerana melakukan aktiviti menyebabkan pencemaran.

“Selain itu polis daerah Klang Selatan turut menahan empat warga asing dipercayai pekerja premis mengikut Akta 342 Kanun Keseksaan.

“MPK akan memperhebatkan operasi membanteras kilang haram dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.

Pada Ahad lepas Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri membangkitkan isu operasi gudang tersebut selepas menerima rungutan penduduk setempat berhubung pencemaran udara.


Pengarang :