Selangorkini
PBT SELANGOR

MPSepang menang tiga anugerah hasil pelitup muka hapus bakteria

SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya merangkul tiga anugerah menerusi Ekspo Teknologi Malaysia 2021: Anugerah Inovasi Antarabangsa Covid-19 pada 17 Jun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata anugerah tersebut dimenangi selepas menghasilkan produk inovasi GF Supermask, iaitu pelitup muka teknologi baharu.

“GF Supermask ini boleh digunakan semula selepas dibasuh kerana graphene (karbon) yang ada pada pelitup muka tersebut boleh menghapus bakteria apabila ia dijemur di tempat yang panas.

“Tahniah kepada wakil pasukan MPSepang iaitu Kumpulan Krew Inovasi Sepang Selangor (KISS) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang (IKTBN) yang berusaha menghasilkan produk ini,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan kejayaan itu, pasukan tersebut berjaya membawa pulang pingat emas, Anugerah Khas dari Persatuan Persekutuan Pencipta Antarabangsa (IFIA) dan Anugerah Terbaik dari Jabatan Perdana Menteri.

Ekspo yang diadakan kali kedua itu bertujuan mengiktiraf sektor swasta, kerajaan dan institut pengajian tinggi dalam penghasilan inovasi yang dianjurkan oleh Protemp Exhibitions and Conference Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa agensi.

Lebih 100 penyertaan terdiri daripada penyelidik, profesor, doktor, ahli akademik mewakili pelbagai organisasi dan negara seperti Ukraine, Indonesia, United Kingdom, Poland dan Turki.

 


Pengarang :