Logo Tokyo 2020 dilihat di Pusat Pameran Antarabangsa Tokyo atau Tokyo Big Sight, lokasi bagi pusat penyiaran antarabangsa untuk sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 ketika tinjauan pada 28 Jun 2021. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

MSN Selangor bantu Farah Ann, Gavin hadapi Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan memantau dan membantu dua atlet negeri ini yang akan mewakili negara dalam temasya Olimpik di Jepun pada Julai.

Pengarah Eksekutifnya Mohammad Nizam Marjugi berkata dua atlet berkenaan adalah gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan pemain golf profesional Gavin Kyle Green.

“Walaupun selepas mereka diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dan semua urusan berkaitan bawah Majlis Sukan Negara, namun MSN Selangor biasanya pantau atlet negeri kita.

“Kita akan beri bantuan seperti kewangan sebelum dan selepas menyertai Olimpik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Olimpik Tokyo bakal menjadi pentas pertama bagi Farah Ann beraksi dalam kejohanan sukan paling berprestij itu manakala kali kedua buat Gavin.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Gavin secara rasminya layak selepas menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam ranking Olimpik yang tempoh kelayakannya berakhir pada 22 Jun.


Pengarang :