Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika pengumuman keputusan e-Bazar Raya dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri rancang dua lagi kempen e-dagang tahun ini

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Selangor merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya dua lagi kempen e-dagang pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan bergantung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rancangan promosi jualan oleh Shopee dan Lazada.

“Saya rasa untuk tahun ini paling kurang satu atau dua lagi kempen kita boleh laksanakan terutama ketika jualan penghujung tahun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media maya hari ini.

Sejak tahun lalu, Kerajaan Negeri bersama Shopee dan Lazada menganjurkan empat kempen e-dagang yang mencatatkan RM2.95 bilion kesan kepada ekonomi negeri, termasuk RM144.7 juta jualan terus.

Kempen e-Bazar Raya Selangor dan e-Bazar 11.11 Selangor diadakan tahun lalu, manakala kempen e-Bazar Tahun Baharu Cina dan e-Bazar Raya Selangor pada tahun ini.

Platform itu bagi membantu peniaga menjana pendapatan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memenuhi keperluan pengguna.

 


Pengarang :