Dato’ Seri Amirudin Shari membuat pengumuman khas Program Vaksin Selangor (Selvax) di Facebook Media Selangor pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri sasar capai 181,000 dos vaksin akhir Julai

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan mencapai sehingga 181,000 dos bagi penerima program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti secara percuma menjelang akhir Julai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi memenuhi jangkaan sebanyak 135,000 dos vaksin menjelang bulan depan dan 165,000 dos vaksin harian pada Ogos.

“Melalui Selvax, kita menyasar tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih 26 pusat pemberian vaksin (PPV), dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik serta hospital swasta,” katanya dalam pengumuman khas hari ini.

“Usaha ini dijangka menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran 80 peratus populasi dewasa di Selangor selesai pada Oktober.”

Selvax dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian di negeri ini yang akan memanfaatkan 1.25 juta penduduk.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi meningkatkan vaksinasi.

Usaha ini diputuskan dalam pertemuan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin di sini pada 15 Jun.

Badan itu juga bersetuju memberi tumpuan kepada golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Selain itu, CITF juga menyasarkan pekerja industri di Selangor dalam fasa keempat.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

 


Pengarang :