Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri Sembilan catat kadar kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian bagi seluruh negara menurun kepada 0.93 setakat semalam berbanding 0.94 kelmarin dengan Negeri Sembilan mencatatkan Rt tertinggi iaitu pada 1.03.

Menerusi data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Facebook beliau malam tadi, Labuan dan Sabah merekodkan Rt kedua tertinggi masing-masing pada 1.02 diikuti Sarawak (1.00).

Kelantan pula merekodkan Rt terendah iaitu 0.75.

Antara negeri lain yang mencatatkan bacaan di bawah satu ialah Kuala Lumpur (0.97), Johor dan Selangor (0.95), Putrajaya (0.91) Melaka (0.90), Kedah (0.87), Perak (0.84), Perlis (0.83), Pulau Pinang (0.82), Pahang (0.79) dan Terengganu (0.76).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

-BERNAMA


Pengarang :