Orang ramai beratur menunggu giliran disaring petugas kesihatan dalam Saringan Komuniti Covid-19 Fasa 3 Percuma DUN Kajang di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 26 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nekad hadir saringan percuma Kerajaan Negeri walaupun kaki patah

KAJANG, 26 JUN: Seorang pemuda warga Syria nekad hadir saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri biarpun dalam keadaan bertongkat kerana patah kaki akibat kemalangan.

Eyad Mhd Adnan Baghajati,38, berkata beliau hadir ke program berkenaan bersama rakannya kerana mahu mengetahui status kesihatan diri yang terdedah kepada risiko jangkitan di tempat kerja.

“Saya hadir ke program ini dengan menumpang kenderaan seorang rakan kerana risau jika membawa wabak ini tanpa mengetahuinya kerana banyak individu positif tetapi tidak bergejala.

“Kos untuk melakukan saringan agak mahal di luar tetapi apabila terdapat program seperti ini yang diadakan secara percuma, saya tidak mahu melepaskan peluang,” katanya yang bekerja di kilang kurma dekat Semenyih.

Eyad Mhd Adnan berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Komuniti DUN Kajang di Dewan Seri Cempaka di sini hari ini.

Pekerja kilang Eyad Mhd Adnan Baghajati, 38

Sementara itu, suri rumah Kamariah Osman, 36, berkata beliau membawa empat anaknya berusia 14 hingga dua tahun untuk membuat saringan kerana suaminya pernah disahkan positif minggu lalu.

“Sepanjang menjalani kuarantin, suami tidak dihubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bertanya tentang kontak rapat sehingga disahkan bebas Covid-19.

“Oleh sebab itu, saya ambil keputusan membawa semua anak buat saringan selain bimbang kesihatan salah seorang anak yang menghidap penyakit talasemia,” katanya.

Saringan Komuniti fasa tiga bermula di DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer pada hujung minggu lalu.

Selain DUN Kajang hari ini, program sama berlangsung Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa esok.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

 


Pengarang :