Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) mencuba laluan baru yang di bina Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

NGO hargai inisiatif Selangor bantu OKU terkesan PKP

SHAH ALAM, 10 JUN: Malaysia Independent Living Association For Disabled (Milad) menyambut baik pemberian insentif sekali bayar berjumlah RM500 kepada orang kelainan upaya (OKU) di Selangor yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) berkait OKU itu berkata keadaan tidak menentu sepanjang penularan Covid-19 memberi kesan kepada golongan terbabit yang berdikari mencari pendapatan sendiri untuk menyara kehidupan.

“Masalah dihadapi golongan OKU berdikari dalam masyarakat adalah jauh lebih mencabar berbanding yang tinggal dalam institusi disebabkan wabak Covid-19 yang mengancam ekonomi negara,” kata Sia Siew Chin ketika dihubungi semalam.

Beliau menjelaskan OKU institusi merujuk kepada kumpulan yang tinggal rumah kebajikan dan rumah orang tua malah mereka lebih mudah mendapat bantuan pihak luar termasuk kerajaan berbanding tinggal sendiri.

Siew Chin yang juga ahli Majlis Tindakan OKU Selangor berkata beliau sendiri menghadapi kesukaran sepanjang pandemik tambahan dua anaknya masih bersekolah.

“Saya menghidap penyakit Mascular Dystrophy yang menjejaskan fungsi tangan dan kaki hanya boleh bergerak dengan kerusi roda bermotor, saya dapat rasa bagaimana tekanan dihadapi golongan OKU,” katanya menambah terdapat 290 ahli Milad di Selangor.

Dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, sejumlah RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri bagi manfaat golongan OKU di Selangor.

 


Pengarang :