Hee Loy Sian ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang Asli terima vaksin CanSino selewatnya September

PETALING JAYA, 19 JUN: Orang Asli seluruh negeri akan menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino keluaran China selewat-lewatnya September depan.

EXCO hal ehwal orang asli berkata vaksin satu dos itu lebih sesuai kerana kebanyakan mereka takut disuntik selain sukar keluar dari kawasan perkampungan.

“Pfizer atau Sinovac tidak sesuai kerana perlu ambil dua dos. Jadi kita pilih CanSino dan akan kumpul mereka di satu tempat untuk program suntikan.

“Seramai 20,000 Orang Asli direkodkan dan kita akan pastikan mereka yang layak mendapat vaksin. Kita jangka seawal bulan depan atau paling lewat September,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Komuniti MBPJ di sini.

Loy Sian menambah kadar pendaftaran vaksin golongan minoriti itu masih rendah berikutan masalah teknologi termasuk rangkaian internet.

Selain itu, beliau berkata sukarelawan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) turut digerakkan bagi membantu penduduk mendaftar secara manual.

“Namun ada juga Orang Asli yang sudah disuntik atas inisiatif sendiri. Mereka sedar kepentingan vaksin,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan dua jenis vaksin yang hanya memerlukan satu suntikan dos, iaitu CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan kecemasan.


Pengarang :