Penduduk mendapatkan bekalan air dari tangki Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor di Seksyen 4, Shah Alam pada 4 September 2020 berikutan gangguan bekalan air. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Paip pecah di Jalan Kuari, bekalan air pulih 75 peratus

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 75 peratus daripada 13 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di sekitar Kuala Lumpur akibat paip pecah kembali pulih setakat jam 3 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya masih  menggerakkan lori tangki menghantar bantuan air kepada kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Agensi meminta pengguna merujuk saluran komunikasi rasmi seperti laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com,  aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter atau Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan status terkini.

Gangguan bekalan tidak berjadual bermula petang semalam melibatkan Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan dan Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

Air Selangor menjangkakan gangguan akan pulih sepenuhnya jam 8 malam ini selepas bekalan mula disalurkan secara berperingkat jam 3.30 pagi tadi.


Pengarang :