Ahli parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar perundangan: Sidang Parlimen perlu diadakan sebelum darurat tamat

SHAH ALAM, 18 JUN: Parlimen perlu bersidang dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pandangan yang dizahir Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk berbuat demikian.

Pakar Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kenyataan “secepat mungkin” yang dizahirkan Baginda bererti pelaksanaannya perlu dibuat sebelum darurat berakhir 1 Ogos ini.

“Tempoh itu dianggap munasabah untuk kerajaan mempersiapkan segala keperluan bagi membolehkan Parlimen bersidang, selaras istilah ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

“Dalam konteks undang-undang, mahkamah pernah memberi tafsiran pada perkataan ‘as soon as possible’ yang juga bermaksud ‘secepat mungkin’ dalam kes Aminah v Superintendent of Prison, Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Ia diertikan sebagai ‘secepat mana yang munasabah menurut keadaan sesuatu kes’. Kayu ukur penting adalah tempoh masa munasabah menyediakan keadaan dan keperluan bagi membolehkan Parlimen bersidang,” kata Prof Datin Dr Faridah Jalil seperti dilapor Berita Harian.

Faridah berkata, dalam aspek persidangan, kesemua Ahli Parlimen sudah divaksin manakala pegawai Parlimen juga boleh divaksin segera selain tiada isu besar susun atur Parlimen, kedudukan kerusi dan penjarakan fizikal.

Rabu lalu Seri Paduka Baginda menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpendapat Parlimen perlu bersidang lebih pantas daripada tatacara biasa, yang memerlukan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum dilaksanakan.

 


Pengarang :