Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Pandemik Covid-19: Ramai petugas hadapan alami tekanan melampau

SHAH ALAM, 27 JUN: Sebanyak 39.1 peratus daripada 893 petugas barisan hadapan mengalami tekanan melampau akibat kerja ketika berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka terdiri daripada kumpulan pegawai kesihatan persekitaran dan petugas makmal.

Menurut beliau, hal itu berlaku apabila mereka perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.

“Kajian dijalankan Roslan N.S. et. al. (2021) mendapati tekanan berkaitan peribadi paling tinggi iaitu 53.8 peratus adalah dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah.

“Tekanan berkaitan pekerjaan adalah sebanyak 39.1 peratus di mana penolong pegawai kesihatan persekitaran (PPKP) dan petugas makmal mencatat peratusan tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tekanan berkaitan pesakit pula katanya, sebanyak 17.4 peratus membabitkan petugas kesihatan di hospital swasta dan golongan paramedik.

Berikut antara faktor yang mencetus situasi tekanan babitkan petugas hadapan:

1. Merasakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat
kerja
2. Bebanan tugas yang tinggi
3. Ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang
4. Pertukaran dan proses adaptasi terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang pelbagai
5. Rancangan kerjaya terganggu
6. Kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya


Pengarang :