Pekerja syarikat kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Taman Keramat, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekerja Texas Intruments dapat vaksin tidak sabar balik kampung

AMPANG, 19 JUN: Pekerja Texas Intruments Malaysia Sdn Bhd (Texas Intruments) yang telah menerima vaksin menaruh harapan dapat pulang ke kampung halaman selepas ini.

Juruteranya, Angie Ng, 36, berkata walaupun kes Covid-19 meningkat dalam situasi semasa namun apabila semakin ramai mendapat suntikan maka peluang bertemu keluarga di Malim Jaya, Melaka cerah selepas lebih setahun menunggu.

Angie Ng. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya rasa semua orang berharap dapat pulang, mak saya di kampung pun mahu saya balik,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Texas Instruments di sini.

Angie adalah sebahagian daripada 2,371 pekerja kilang terbabit yang menjadi kumpulan pertama dalam sektor perkilangan di Selangor disuntik vaksin sejak 16 hingga 23 Jun ini.

Pembantu pelanggan, Muhammad Shahrudin Ibrahim, 29, pula mahu membawa anaknya yang berusia setahun menikmati alam kerana sejak dilahirkan hanya berada di rumah.

“Anak saya lahir ketika awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), keluar pun pergi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.

Muhammad Shahrudin Ibrahim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kalau semua sudah disuntik dan ada imuniti kelompok saya nak bawa dia berkhemah tengok sungai serta alam semula jadi,” katanya.

Pengarah perancangan, Suba Ramayah, 43, gembira apabila dia dan suami kini sudah menerima vaksin selepas lebih empat bulan menunggu.

“Terima kasih kepada pengurusan kerana merealisasikannya kerana sebelum ini saya tak pasti bila boleh dapat kerana tiada malumat diterima selepas mendaftar melalui MySejahtera.

“Rasa lega sangat, kami sudah membentuk imunti kelompok dalam keluarga sendiri,” katanya.


Pengarang :