Penguat kuasa mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik restoran kerana operasi lebih masa. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

Pemilik restoran dikompaun RM10,000 operasi selepas 8 malam

SHAH ALAM, 4 JUN: Pemilik sebuah restoran di SS15, Subang Jaya dikompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pemantauan anggota penguat kuasa pada Rabu mengesan premis itu masih beroperasi selepas jam 8 malam.

“Pemilik premis juga dikompaun RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Kompaun RM1,000 turut dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan MPSJ 2007 atas kesalahan mempamerkan papan iklan visual tanpa kebenaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan sekitar Bandar Puteri, Puchong, Seri Kembangan, Sunway Metro, Bandar Sunway dan SS15 diketuai Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali bersama 11 anggota penguat kuasa.

Waktu operasi perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

 


Pengarang :