Persembahan Pemuzik untuk Pemuzik secara langsung membimbing golongan terbabit terutama yang lebih veteran untuk menjana pendapatan dalam talian semasa wabak Covid-19 melanda negara. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Pemuzik kembang sayap dalam talian, terus bertahan kala pandemik

Oleh Kevin Davasagayam

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Penggiat muzik, seperti kebanyakan profesi lain, turut mengalami kesukaran akibat terputus mata pencarian berikutan impak penularan Covid-19.

Kepayahan itu semakin dirasakan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memaksa kebanyakan perniagaan mengalihkan operasi mereka ke dalam talian.

Tampil membuat persembahan di Facebook Live adalah sesuatu yang alami bagi anak muda, tetapi ia tidak semudah itu untuk pemuzik veteran, jelas Naib Presiden Persatuan Pemuzik Malaysia (PPM) Edwin Nathaniel.

“Namun, kami sedar betapa penting untuk mempelajarinya agar mampu bertahan selama waktu disrupsi ini,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Penggiat muzik yang terjejas ini bukan pemuzik yang sekadar membuat persembahan untuk menambah pendapatan atau sebagai hobi. Sumber pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada pertunjukan.

Keadaan kini menjadi semakin meruncing sehingga sebilangan anggota PPM tidak mempunyai makanan untuk anak-anak mereka melainkan telur ayam semasa PKP, kata Edwin.

Ada yang terpaksa menjual apa sahaja yang tersisa dari peralatan muzik mereka.

PPM ditubuhkan pada tahun 2019 dengan lebih 1,000 orang ahli yang kebanyakan pemuzik senior.

Semenjak tahun 2020, mereka giat mengajar dan membantu pemuzik tempatan cara-cara menjana pendapatan secara dalam talian.

Bermula PKP pertama tahun lepas, PPM telah membimbing ahlinya kaedah menayangkan persembahan secara langsung melalui Facebook, supaya ia dapat ditonton dan diberi tip oleh peminat muzik.

Edwin berkata langkah mengembangkan sayap ke dalam talian adalah antara inisiatif yang telah mereka usahakan bahkan sebelum wabak melanda.

Ini kerana industri persembahan dan pertunjukan secara langsung di Malaysia ketika itu sudah menderita kerana kekurangan sokongan, apatah lagi dengan upah yang sekadar “cukup-cukup untuk bertahan hidup”.

“Apabila pandemik melanda dan muzik live tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP, kami tahu yang kami tidak boleh berdiam diri,” katanya lagi.

PPM, yang pada mulanya dikenali sebagai Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor (PPTS), memulakan inisiatif mereka dengan menganjurkan sesi Facebook Live yang dikenali sebagai Isolation Music.

Isolation Music menampilkan tiga pemuzik berbeza setiap hari bekerja dari 7 hingga 9 malam.

“Kami akan menjemput mana-mana ahli dan mengesahkan persembahan mereka. Kemudian mereka akan dibimbing cara mengakses halaman Facebook PPTS serta menggunakan telefon bimbit dan kamera untuk membuat rakaman langsung.

“Ketika mereka membuat persembahan, mereka juga akan mempamerkan nombor akaun bank mereka di layar agar penonton dapat memberi sumbangan,” kata Edwin, sambil menambah bahawa hingga kini, lebih daripada 100 pemuzik telah mendapat manfaat dari pertunjukan tersebut.

Hasilnya, sesi Isolation Music berjaya menarik lebih 5,000 followers dan mencatatkan 500,000 tontonan dari 35 negara dalam masa dua bulan.

Jelas Edwin, pemuzik yang menyertai sesi tersebut mampu meraih antara RM10 – RM500 satu persembahan dan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka.

Beliau mengakui jumlah sumbangan tidak seberapa namun ia lebih baik daripada langsung tiada usaha.

Selain itu, PPM juga menganjurkan inisiatif Musicians For Musicians Centrestage yang membolehkan pemuzik seluruh negara bersiaran secara langsung dan menjana pendapatan dari laman Facebook PPM.

Presiden PPM, Francis Danker juga memutuskan untuk melangkah lebih jauh lagi bagi membantu rakan pemuzik dengan mendirikan sebuah studio dengan peralatan muzik lengkap.

Kesemua peralatan yang berharga hampir RM300,000 adalah bagi membolehkan pemuzik membuat persembahan untuk inisiatif siaran langsung PPM.

“Semasa PKP Pemulihan, kami mengatur persembahan dari kumpulan muzik pada musim perayaan seperti Hari Raya, Deepavali dan Krismas. Kami juga memberi mereka tanda penghargaan dan wang dari penaja.

“Tetapi buat masa ini, pertunjukan langsung terpaksa dihentikan kerana PKP 3.0. Kami menantikan saatnya untuk kembali lagi setelah keadaan mereda. Buat masa ini kami terus berusaha untuk tetap berjalan,” kata Francis.

Francis berkata PPM juga telah menghantar cadangan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin agar pemuzik dapat membuat persembahan di pusat vaksinasi seluruh negara.

“Kita lihat nanti bagaimana keputusannya. Diharapkan kami diberi lampu hijau. Ini sudah pasti akan membantu ramai pemuzik,” kata Francis, sambil menambah PPM juga akan terus mencari penaja bagi membantu tujuan ini.

Dalam perkembangan positif lain, Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) dan PPM baru-baru ini mengumumkan bekerjasama mereka dalam menjayakan pelancaran laman web Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL).

Melalui pakatan tersebut, CENDANA akan menyokong platform “Centerstage,” – sebuah ruang dalam talian yang mana anggota PPM dapat membuat persembahan setiap hari, dengan menyalurkan dana tambahan selama 6 bulan berikutnya mulai bulan depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata sejak penubuhan CENDANA pada bulan September 2017, sektor muzik bebas telah meningkat dengan pesat menjadi sektor kedua tertinggi bagi badan tersebut.

“Memandangkan permintaan meningkat, CENDANA berharap dapat memperkukuhkan peranannya dalam menyokong perkembangan arena muzik bebas di Malaysia.

“Lebih banyak inisiatif akan disediakan dalam pelbagai bentuk termasuk pengembangan profesional, program pendanaan, peluang jaringan dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama.

Jelas beliau usaha seperti program Centerstage sangat penting terutama ketika pandemik dan CENDANA berharap ia dapat menyumbang ke arah pemeliharaan pekerjaan di dalam sektor muzik.

“Kami akan umumkan lebih banyak kerjasama tidak lama lagi,” kata Izan.

– BERNAMA


Pengarang :