AGENDANASIONAL

Pendapatan Air Selangor meningkat, catat RM2.18 bilion pada 2020

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatat pendapatan berjumlah RM2.18 bilion tahun lalu, meningkat 3.62 peratus berbanding RM2.10 bilion pada 2019.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat itu membuktikan kemampuan mencapai sasaran ditetapkan meskipun operasi sedikit terganggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suhaimi Kamaralzaman turut memaklumkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) berjaya dikurangkan dari 29.7 peratus pada 2019 kepada 28.53 peratus tahun lalu, melebihi sasaran ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Pengurangan NRW mengomptimumkan kos operasi sekali gus meningkatkan pendapatan kita,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian 2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata Air Selangor juga merekod banyak kejayaan pada tahun lalu yang memberi impak positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Kejayaan itu meliputi:

1. Penyerahan pengurusan Empangan Kelau di Pahang menerusi projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor dengan kemampuan penyimpanan air sebanyak 147.10 juta meter padu yang memberi faedah kepada Loji Rawatan Air Langat 2

2. Pematuhan 100 peratus program jaminan kualiti Kementerian Kesihatan Malaysia tanpa sebarang insiden pelanggan mengalami jangkitan dalam usus akibat kuman dalam air serta bebas klorin.

3. Pelaksanaan tinjauan indeks kepuasan pelanggan 2020 bagi mengenal pasti jangkaan pengguna untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

4. Pelaksanaan pelbagai inisiatif akar umbi menerusi program tanggungjawab sosial korporat Sesama Mara Air Selangor.


Pengarang :