Anggota polis memantau pergerakan setiap kenderaan yang merentas daerah atau negeri pada tinjauan operasi sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 Mei 2021. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Penduduk Johan Setia jangan bimbang, PKPD hanya di kuarters pekerja asing

SHAH ALAM, 29 JUN: Penduduk di Kampung Johan Setia, Klang diminta kekal tenang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kuarters pekerja berpusat (CLQ) di kampung itu mulai esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berkata ini kerana perintah berkenaan hanya membabitkan satu blok kuarters pekerja sebuah projek pembinaan yang setakat ini seramai 156 orang disahkan positif Covid-19.

“Saya dapat banyak panggilan menyangka perintah itu turut termasuk kawasan kampung, hanya kuarters pekerja asing sahaja jadi tidak perlu bimbang.

“Tiada penularan dalam kalangan komuniti membabitkan jangkitan dari kawasan itu, kes wabak di Kampung Johan Setia dan Kampung Seri Nadi (perkampungan berhampiran CLQ) pun semakin menurun,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, bantuan makanan kepada kawasan PKPD itu akan diuruskan majikan pekerja asing terbabit.

Semalam, kerajaan mengumumkan CLQ Johan Setia di Kampung Johan Setia dikenakan perintah tersebut selama 14 hari mulai 30 Jun.

Arahan itu susulan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh 12 hari apabila sebanyak 156 kes dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

Tiga lokaliti lain di negeri ini turut dikenakan PKPD iaitu di CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat.


Pengarang :