AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk Selangor bertuah dapat rebat pengangkutan ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 14 JUN: Penduduk Selangor bertuah kerana diberi rebat RM20 untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri bagi mendapatkan suntikan Covid-19.

Noor Hidayati Shahbani, 37, berkata inisiatif Kerajaan Negeri dapat meringankan beban individu yang tidak memiliki pengangkutan khususnya untuk ke PPV terletak jauh dari kediaman masing-masing.

“Rasa sangat beruntung sebab kita bukan sahaja diberi vaksin percuma dan kemudahan selesa di PPV malah menerima rebat pengangkutan. Sudah tentu ia suatu usaha yang sangat bagus serta memudahkan semua.

“Saya akan gunakan kemudahan ini jika tempat pemberian vaksin itu jauh dan susah untuk cari tempat letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Ramli Samek, 68, yang menetap di Gombak berkata kemudahan tersebut mampu memudahkan golongan berusia untuk ke tempat vaksinasi tanpa perlu memandu sendiri.

“Kalau saya mungkin boleh bergerak sendiri sebab masih sihat, tetapi kebanyakan individu seusia saya sudah tidak mampu memandu jauh untuk ke pusat vaksin.

“Justeru, saya berharap mereka yang duduk jauh dapat memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya sambil memaklumkan selesai mendapat dos pertama vaksin di Pusat Konvensyen Setia City minggu lalu.

Yeo Chong Yong, 30, pula menyambut baik langkah Kerajaan Negeri, namun bimbang akan menyukarkan warga emas yang tidak mahir menggunakan teknologi untuk menempah perkhidmatan e-panggilan.

“Kadang-kadang orang tua tidak tahu bagaimana guna Grab dan mereka mungkin perlu dapatkan bantuan orang lain untuk tempah kenderaan tersebut,” katanya.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat RM20 kepada pengguna perkhidmatan e-panggilan untuk ke PPV bermula 1 Julai ini.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 individu di negeri ini.


Pengarang :