Seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin Subang Jaya pada 26 April 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penerangan rumah ke rumah yakinkan warga emas ambil vaksin

SHAH ALAM, 24 JUN: Pendekatan secara bersasar dan teratur perlu dibuat bagi meyakinkan warga emas dan golongan atas pagar berhubung suntikan vaksin.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata kaedah terbaik meliputi penerangan dari rumah ke rumah untuk menjawab kekeliruan kelompok tersebut.

“Proses untuk pergi rumah ke rumah, pintu ke pintu ini memang agak sukar dan memenatkan tetapi harus dibuat supaya mereka faham apa sebenarnya vaksin dan mengapa pentingnya suntikan ini.

“Jika ia tidak dilaksana, saya bimbang sukar untuk kita mencapai imuniti kelompok,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi.

Dr Farhan turut memuji inisiatif Kerajaan Selangor melaksanakan kempen pendaftaran vaksin bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran berbuat demikian.

Selain itu, beliau juga menasihati individu yang sudah mendapat tarikh janji temu vaksin untuk hadir mendapatkan suntikan.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu pendaftaran vaksin termasuk Orang Asli.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tiada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Pada 15 Jun, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 bersetuju pemberian vaksin di Selangor dipergiat sehingga mencapai 135,000 orang sehari menjelang Julai dan meningkat kepada 165,000 pada Ogos.


Pengarang :