(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera kanak-kanak

SEPANG, 21 JUN: Seorang pengasuh taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di sebuah hospital di Serdang pada 8 Jun lepas.

Nur Fatin Nabila Azmi, 23, didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak berumur setahun lapan bulan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Hisham Ahmad Jaafar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku kira-kita 10.30 pagi di sebuah pusat taska di kediaman kakitangan Hospital Serdang, Jalan Puchong, Kajang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa.

Hakim Noor Hisham membenarkan ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira faktor tanggungan tertuduh yang mempunyai ibu bapa uzur dan menghidap penyakit kritikal.

Mahkamah menetapkan 26 Julai tarikh sebutan semula kes.

– BERNAMA


Pengarang :