Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Penggunaan katil ICU Covid-19 cecah 104 peratus dalam dua minggu

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) naik sehingga 104 peratus setakat 6 Jun, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut kenaikan sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua minggu mulai 24 Mei amat membimbangkan.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.

Beliau berkata penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU pula turun 10 peratus kepada 89 peratus dalam tempoh sama, termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 yang mencecah 54 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan hospital berdepan peningkatan kes bergejala serius (kategori empat dan lima) yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau menjelaskan pesakit dalam kategori itu memerlukan tempoh pemulihan antara 14 hingga 26 hari berikutan komplikasi serius daripada jangkitan virus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak bahawa penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) pada tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekalipun,” tegas Dr Noor Hisham.


Pengarang :