Anggota polis dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melakukan pemantauan dalam Operasi Pematuhan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga membabitkan skim perumahan berstrata di Zenith Residences, Petaling Jaya pada 17 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Penghantar tidak boleh jumpa penghuni, letak barang di ruang khas

PETALING JAYA, 17 JUN: Pihak pengurusan strata dilarang membenarkan penghantar barangan atau makanan bertemu secara terus dengan penghuni bangunan.

Ketua Unit Penguatkuasa Cawangan Pengurusan Strata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata mereka sebaliknya perlu menyediakan tempat khas untuk meletak barangan pesanan.

“Jika mereka benarkan penghantar atau pelawat memasuki kediaman penghuni, tindakan kompaun boleh dikenakan kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain memastikan keselamatan semua, kita juga mahu mengekang wabak Covid-19 daripada menular. Tiada lagi kompromi dan tindakan diambil jika ada yang langgar peraturan,” kata Inspektor Mohammad Izzat Hassan.

Inspektor Mohammad Izzat Hassan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui dalam operasi pematuhan SOP pengurusan strata bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Zenith Residences di sini hari ini.

Mohammad Izzat turut kesal berikutan sistem keselamatan pihak pengurusan strata yang lemah dan perlu diperketat.

“Sepanjang pelaksanaan operasi, kita dapati ada pengurusan melakukan kesalahan am iaitu tidak menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk, tidak imbas suhu malah ada yang tidak imbas kod MySejahtera.

“Setakat ini, kita hanya memberi amaran namun jika didapati kesalahan sama berulang tindakan akan diambil,” katanya.


Pengarang :