Guru Tadika Anak-Anak Bestari di Seksyen 7, Shah Alam menyukat suhu badan murid-murid sebelum dibenarkan masuk ketika tinjauan pada 17 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengusaha tadika lega dapat moratorium, bantuan tunai

SHAH ALAM, 11 JUN: Seorang pengusaha tadika di Jalan Kebun, Klang menghargai bantuan bernilai RM3,750 yang dinikmatinya melalui inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

Rahmah Safari menerima moratorium bayaran pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) untuk tempoh sebulan setengah berjumlah RM3,300 dan bantuan sekali bayar sebanyak RM450.

Menurut wanita berusia 47 tahun itu, pendapatan pusat pendidikan awal miliknya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bilangan kanak-kanak terpaksa dihadkan.

Rahmah Safari

Dia yang memiliki 150 murid kini hanya dibenarkan menjaga 50 kanak-kanak yang ibu bapanya bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu dan petugas hadapan.

“Pada masa sama, saya perlu membayar gaji seramai 33 tenaga kerja dan sewa premis, jadi bantuan Kerajaan Selangor ini sudah tentu dapat meringankan beban.

“Malah, guru-guru kami juga mendapat bantuan RM150 yang boleh digunakan menampung sebahagian perbelanjaan dalam berdepan PKP,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya dengan peruntukan RM1.99 juta.

Bantuan sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 turut memanfaatkan 40,000 usahawan Hijrah yang menikmati moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan.

Pelan bernilai RM551.56 juta membantu 1.6 juta penduduk yang terkesan dengan PKP termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.


Pengarang :