(Gambar hiasan) Sekumpulan lembu berkeliaran di Taman Medan, Petaling Jaya pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penyakit kulit serang lembu, pengusaha digesa pantau ternakan

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar memantau penularan penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan lembu dan kerbau.

EXCO pertanian berkata pihaknya memandang serius penyakit tersebut yang dikesan di Sabak Bernam dan Hulu Selangor terutama untuk persediaan ibadah korban.

“Kita terima laporan ada dua kes LSD di Selangor, keadaan ini membimbangkan kerana memberi kesan besar kepada bekalan makanan serta industri ternakan.

“Penternak lembu atau kerbau digesa menghubungi agensi berkaitan sekiranya terdapat jangkitan kulit haiwan ternakan,” kata Ir Izham Hashim pada Majlis Pelancaran Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) semalam mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.


Pengarang :