Imbasan mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek biru bulat) muncul dari permukaan sel yang dikultur di makmal, yang menyebabkan Covid-19. Virus itu diasingkan dari seorang pesakit di Amerika Syarikat pada 27 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Penyelidik: Virus Covid-19 boleh jangkiti sel otak, jejas sistem saraf

SHAH ALAM, 25 JUN: Virus Covid-19 boleh menjangkiti sel otak, sekaligus menyebabkan tindak balas yang mungkin jejaskan sistem saraf dan psikologi, menurut penyelidik Belanda, semalam.

Walaupun perebakan virus itu berhenti dengan cepat dan mengakibatkan kesan terhad selepas memasuki otak melalui hidung, ia mencetuskan sitokin, iaitu protein kecil yang mempengaruhi sistem imun tubuh.

Pakar virologi Universiti Erasmus berkata penyelidik melihat fakta serupa bahawa jangkitan SARS-CoV-2 jarang menyebabkan keradangan otak serius di mana virus merebak secara tidak terkawal dalam otak, lapor Berita Harian yang memetik AFP.

“Namun, fakta SARS-CoV-2 berkemungkinan boleh memasuki otak melalui hidung dan menjangkiti sel menyebabkan tindak balas keradangan, sudah tentu boleh menyumbang kepada gangguan neurologi,” kata Debby van Riel dalam kenyataan.

Dapatan hasil penyelidikan dijalankan Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam itu diterbitkan dalam jurnal mikrobiologi mSphere yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Munurut kajian itu lagi, semakin banyak data menunjukkan virus boleh memasuki otak menerusi hidung namun masih terlalu sedikit kefahaman mengenai kesannya.

Pakar dari Jabatan Psikiatri Universiti Erasmus, Femke de Vrij berkata lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan.

“Penyelidikan lanjut akan membolehkan kami mengetahui lebih banyak lagi maklumat mengenai kesan jangkitan itu terhadap struktur otak dalam jangka pendek dan panjang,” katanya.

Sejak pandemik itu tercetus, pesakit Covid-19 di serata dunia dilaporkan mengalami gangguan sistem saraf dan psikiatri seperti masalah ingatan, sakit kepala, psikosis yang jarang berlaku serta beberapa kes keradangan otak.

Satu daripada tiga pesakit Covid-19 didapati mengalami gangguan berkenaan dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti, menurut satu kajian diterbitkan dalam jurnal pakar The Lancet Psychiatry, April lalu.


Pengarang :