Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel untuk dianalisis ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penyertaan penduduk bandar, luar bandar dalam saringan berbeza ketara

SABAK BERNAM, 10 JUN: Penyertaan antara penduduk bandar dan luar bandar dalam Saringan Komuniti Covid-19 menunjukkan perbezaan yang besar.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata perbezaan sekitar 50 peratus itu didorong faktor kesedaran dan pendedahan penggunaan media sosial.

“Sambutan penduduk di luar bandar kurang memandangkan kebanyakan mereka warga emas dan mungkin tidak mendapat makluman berkenaan program ini.

Norafida Zamri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bayangkan jika di bandar, kita mampu saring antara 2,000 hingga 3,000 peserta sehari tetapi di luar hanya sekitar 500 ke 1,000 individu. Jurang perbezaan ini sangat besar,” kata Norafida Zamri pada Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar semalam.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkan ujian percuma ditawarkan Kerajaan Negeri kerana kos di klinik swasta mahal sehingga boleh mencecah lebih RM100.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga hari ini.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 95,561 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil dengan 3,330 daripadanya disyaki positif Covid-19.


Pengarang :