Dr Muhammad Farhan Rosli
AGENDAAGENSISELANGOR

Pergerakan aktif sumbang 80 peratus kes positif Saringan Komuniti – STFO

TANJONG SEPAT, 4 JUN: Pergerakan aktif kalangan individu dipercayai menyumbang 80 peratus kes disyaki positif menerusi program Saringan Komuniti Covid-19, kata Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO)

Pengarahnya berkata kebanyakannya berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dikenal pasti sentiasa bergerak aktif termasuk keluar bekerja hingga terdedah jangkitan.

“Sebenarnya ramai lagi individu positif dalam golongan ini tidak dapat dikesan kerana tiada akses membuat saringan disebabkan kos tinggi antara RM150 hingga RM180.

“Dalam keadaan ekonomi yang sukar, saya gesa mereka yang bergerak aktif memanfaatkan saringan percuma ini supaya dapat kesan jangkitan serta status kesihatan mereka,” kata Dr Muhammad Farhan Rosli di saringan komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat di Kompleks Muhibbah hari ini.

Sementara itu, beliau meminta warga emas sekitar daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam supaya menyertai saringan di kawasan masing-masing meskipun tidak mendaftar menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Jika mereka mempunyai telefon pintar, pasukan kita akan bantu muat naik SELangkah. Aplikasi ini bukan digunakan ketika saringan sahaja malah mereka akan mendapat pelbagai info termasuk vaksinasi,” katanya.

Sejak dilancarkan 8 Mei lalu hingga semalam, seramai 87,903 individu menyertai program saringan komuniti itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Sepang dan Kuala Langat. Daripada jumlah itu, 3.6 peratus atau 3,168 peserta disyaki positif selepas disaring.

 

 


Pengarang :