Poster ihsan Facebook Selangor Xtiv Virtual 2021
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Permainan sohor kini jadi pilihan dalam Selangor Xtiv Virtual

SHAH ALAM, 17 JUN: Kegilaan anak muda terhadap permainan video ganas dalam talian seperti PUBG dan Mobile Legends ketika ini menyebabkan Selangor Xtiv Virtual E-Sport mendapat penyertaan tertinggi dalam Selangor Xtiv Virtual 2021.

EXCO sukan berkata sejak Mac lalu sehingga semalam, kategori itu merekodkan 99,020 penyertaan iaitu lebih 95 peratus daripada 103,859 individu mendaftar.

“Fenomena permainan itu dalam kalangan anak muda menyebabkan ia menjadi pilihan. Sekalipun tidak dipertandingkan, permainan ini tetap dipilih kerana sohor kini.

“Kita yakin jumlah peserta kategori ini akan terus meningkat tambahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuat kuasa menyebabkan pergerakan terbatas,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Kategori berkenaan meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya yakin penganjuran sukan secara maya itu melepasi sasaran iaitu lebih 450,000 peserta.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.


Pengarang :