Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Permintaan tinggi pelitup muka, KPDNHEP minta peniaga jangan naik harga

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi amaran kepada peniaga tidak menaikkan harga pelitup muka susulan permintaan tinggi di pasaran.

Pengarah Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pelitup muka tiga lapisan harus dijual di bawah harga siling iaitu 70 sen sekeping dan mereka yang ingkar berdepan tindakan di bawah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita tidak mahu berlakunya keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila ada menjual dengan harga mahal disebabkan bekalan tidak mencukupi pada masa itu.

“Berdasarkan pemantauan dua hari pertama PKP Penuh, harga pelitup muka masih di bawah harga siling dan bekalan juga mencukupi kerana kilang memprosesnya dibenarkan beroperasi,” katanya kepada SelangorKini.

Hari ini, The Star melaporkan berlaku peningkatan permintaan alat perlindungan itu disebabkan orang ramai kini mengamalkan pemakaian pelitup muka dua lapis.

Sebelum ini, ketua pengarah kesihatan menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka berganda terutama ketika berada di kawasan berisiko seperti hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka tiga lapisan dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.


Pengarang :