Juwairiya Zulkifli (kiri) mengagihkan barangan keperluan asas kepada penduduk sekitar DUN Bukit Melawati pada 19 Februari 2021. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan bantuan makanan, peranti paling banyak diterima wakil rakyat

SHAH ALAM, 30 JUN: Permohonan bantuan makanan dan peranti bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) paling banyak diterima wakil rakyat Selangor ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak lebih setahun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata pemohon pula adalah dalam kalangan individu yang tidak dibenarkan bekerja oleh majikan serta hilang pekerjaan.

“Kita menerima banyak aduan dan rintihan terutamanya keperluan makanan kerana ramai yang hilang punca pendapatan. Malah sehingga semalam, netizen pun sudah menggerakan satu kempen kibar bendera putih kerana masyarakat amat tertekan, berada dalam keadaan tekanan hidup.

“Kita juga mendapat aduan mengenai pendidikan terutama di luar bandar yang tidak ada kemudahan gajet untuk melaksanakan PdPR, mungkin mereka mempunyai anak tiga, empat orang anak tetapi gajetnya hanya satu,” katanya menerusi Bual Bicara – Covid-19: Mencari Jalan Keluar yang disiarkan secara langsung menerusi TV Selangor, malam tadi.

Juwairiya berkata Kerajaan Selangor sedar keadaan itu dan memperkenal Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu rakyat dengan peruntukan menyeluruh termasuk kawasan pembangkang.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga setuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.


Pengarang :