Rakyat Terengganu hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 13 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pernah anggap vaksin tidak selamat, kini jadi sukarelawan pusat imunisasi

KUALA NERUS, 13 JUN: Beberapa bulan sebelum ini, Ramadhan Awang, 35, pernah mempunyai persepsi negatif tentang vaksin Covid-19 dan sangat risau tentang kesan sampingan yang bakal dialami sekiranya menerima suntikan tersebut.

Persepsi negatif itu muncul selepas beliau banyak membaca kisah-kisah yang tular di media sosial mengenai kesan negatif vaksin tersebut yang tidak bersumberkan maklumat sahih mahupun daripada individu dipercayai.

Namun, selepas melihat sendiri ramai rakan dan saudara-maranya menerima vaksin Covid-19 tanpa sebarang kesan sampingan yang teruk, Ramadhan akhirnya tergerak hati untuk mencari maklumat yang lebih tepat dari segi sains perubatan.

“Selepas mendapat penerangan yang jelas melalui pembacaan, serta fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama, saya bertambah yakin dengan keberkesanan vaksin sebagai antara ikhtiar mencegah penularan wabak pandemik ini.

“Hari ini, saya menerima suntikan dos yang pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan merupakan sukarelawan di PPV ini dan saya akan menyebarkan maklumat lebih meluas mengenai kebaikan vaksin agar tiada lagi yang mempunyai persepsi negatif seperti saya dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seramai 150 individu menerima suntikan pertama mereka di UniSZA yang kini menjadi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Terengganu yang dijadikan PPV melalui program kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mengulas lanjut, Ramadhan berkata beliau menyarankan orang ramai terutama anak muda agar mendapatkan maklumat tepat daripada pakar perubatan, agamawan dan saintis bukannya daripada mana-mana individu lain yang tidak mempunyai latar belakang perubatan kerana dikhuatiri maklumat disampaikan tidak tepat.

Selain Ramadhan, persepsi negatif mengenai vaksin juga pernah membelenggu Mohamad Danial Zakaria, 31, yang bimbang kerana terlalu banyak kisah mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan.

“Tetapi saya tidaklah antivaksin, cuma ragu-ragu sahaja dan hasil penerangan berterusan dilakukan pelbagai agensi kerajaan akhirnya berjaya buka mata saya bahawa vaksin ini adalah selamat dan perlu diambil terutama golongan berisiko,” katanya yang kini menjadi sukarelawan PPV di UniSZA.

-BERNAMA


Pengarang :