Petugas kesihatan menunjukkan botol vaksin AstraZeneca di pusat pemberian vaksin di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDASELANGOR

Persatuan perubatan: Langkah Selangor beli vaksin percepat pulih wabak

SHAH ALAM, 11 JUN: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik usaha Kerajaan Selangor membeli lebih 500,000 vaksin untuk rakyat negeri itu menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP).

Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam berkata pembelian itu dapat mempercepatkan program vaksinasi terutama kepada warga emas, pekerja sektor perindustrian, pembuatan serta perkhidmatan dan golongan belia.

“Kami berharap usaha yang dilakukan Kerajaan Selangor ini membuahkan kejayaan. Begitu juga dengan keputusan mengambil 1,000 pengamal perubatan swasta juga langkah tepat kerana kepantasan, kemudahan dan kebolehcapaian penting dalam meningkatkan pengambilan vaksin.

“Kami yakin lebih ramai pengamal perubatan swasta akan turut serta dan menyasarkan lebih 2,000 lagi penyertaan kumpulan ini di Selangor dan kawasan bersempadan di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Menurutnya, usaha untuk meningkatkan pengambilan suntikan vaksin amat perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan sekali gus membantu memulihkan semula ekonomi.

“MMA turut mengalu-alukan lanjutan program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Selangor yang terbukti berjaya mengesan golongan ‘pembawa senyap’,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri lain turut mempertimbangkan program vaksinasi dan saringan percuma di negeri mereka.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi memperoleh vaksin dan mempercepatkan imuniti kelompok menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.


Pengarang :