AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pertandingan rangka kertas kerja pulih pelancongan tawar geran RM150,000

SHAH ALAM, 16 JUN: Tourism Selangor menawarkan hadiah geran projek bernilai RM150,000 menerusi pertandingan merangka kertas kerja pelan pemulihan sektor pelancongan domestik.

Pengurus besarnya berkata pertandingan yang bermula 14 Jun sehingga 31 Julai menyasarkan 50 penyertaan orang awam, penggiat industri, badan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi, pemandu pelancong berdaftar dan hos komuniti setempat.

“Tujuan kita menganjurkan acara seperti ini untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik di Selangor melalui pendekatan norma baharu atau inisiatif yang menjurus bagi mengatasi impak Covid-19.

“Kerta kerja atau pitching ini perlu memberi tumpuan kepada salah satu daripada tiga kategori iaitu ‘kreatif dan inovasi pelancongan’, ‘kelangsungan pelancongan’ atau ‘digitalisasi Pelancongan’,” kata Azrul Shah Mohamad menerusi kenyataan.

Menurutnya, 10 pemenang utama berpeluang membawa pulang geran projek bernilai RM 10,000 setiap seorang, manakala 10 pemenang saguhati mendapat geran projek bernilai RM 5,000 setiap seorang.

“Pemenang turut berpeluang membentangkan hasil projek mereka di Tourism Selangor Global Convention 2021 yang akan dianjurkan pada November ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan, peraturan dan borang penyertaan, boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di http://www.selangor.travel.

Peserta boleh menghantar emel ke [email protected] atau hubungi pegawai Tourism Selangor, Mohd Izzul Izzat di talian 016-207 6972 atau Ng Yik Thim (011-6366 8098).


Pengarang :