Orang awam mematuhi arahan tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perunding kewangan: Urus perbelanjaan ketika pandemik, elak ‘hutang jahat’

SHAH ALAM, 17 JUN: Seseorang perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika merancang kewangan saat negara dilanda pandemik Covid-19, kata perunding kewangan.

Firdaus Pay berkata mereka yang terjejas juga perlu mengelak hutang tidak perlu dan menyediakan tabung kecemasan untuk membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Antara perancangan kewangan terbaik pada masa ini kita kena sediakan belanjawan supaya kita boleh senaraikan barang keperluan yang perlu diutamakan berbanding kehendak.

“Pada masa sekarang agak bagus untuk kita kurangkan hutang dan elakkan hutang yang tidak perlu iaitu utamakan ‘hutang baik’ dan elakkan ‘hutang jahat’,” katanya menerusi temubual secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Beliau menjelaskan hutang baik ialah hutang yang boleh menambah baik pendapatan seperti pembelian rumah untuk disewakan, manakala hutang jahat seperti pinjaman peribadi yang menjadi beban dalam jangka masa panjang.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan setiap individu mempunyai tabung kecemasan yang boleh digunakan jika mereka dibuang kerja atau pendapatan terjejas.

“Paling penting kita perlu menyediakan takaful untuk perlindungan diri dan keluarga kerana ia boleh menolong kita dalam perbelajaan luar jangka seperti bayaran kos hospital,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan simpanan dibuat di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Unit Trust dengan peruntukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan.

“Simpanan ini boleh digunakan untuk jangka masa panjang dan jika ada kecemasan yang terdesak,” katanya lagi.


Pengarang :