Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Perwakilan AMK seru kerajaan atasi segera isu agih vaksin, PdPR

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerajaan digesa menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini untuk menyegerakan pemberian vaksin Covid-19.

Perwakilan Kedah berkata pihaknya yakin dengan mempercepatkan proses itu dalam tempoh dua minggu akan menurunkan kadar jangkitan serta membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Adam Loh Wei Chai berkata program imunisasi yang dilancar pada 24 Februari lalu bergerak perlahan iaitu hanya 6.7 peratus rakyat menerima vaksin dos pertama.

“Saya cadangkan kepada kerajaan supaya mengumpulkan semua sukarelawan dan juga daripada pelbagai ideologi mencari satu kaedah bagaimana untuk mengambil vaksin dan mendaftar dengan cepat.

“Wujudkan AJK vaksin di pekan atau di kawasan pedalaman dan pastikan semua orang keluar mengambil dan mendaftarkan untuk vaksin supaya boleh menamatkan pandemik ini secepat mungkin,” kata naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah.

Beliau berkata demikian pada Persidangan AMK Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Sementara itu, perwakilan Pahang berkata walaupun lebih setahun pandemik melanda negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat gagal menguruskan isu pendidikan seperti pemberian peranti serta penutupan dan pembukaan sekolah.

“Sebanyak 37 peratus pelajar di bawah KPM tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian. Angka ini bersamaan 1.7 juta pelajar… di manakah laptop untuk pelajar golongan B40 seperti yang dijanjikan di dalam bajet 2021?” soal Ahmad Saifullah Razali.

Setiausaha AMK Pahang juga mencadangkan sistem pembelajaran di sekolah dilakukan secara hibrid.

“Disamping melaksanakan sistem penggiliran sekolah, PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) tetap perlu diteruskan secara sistematik dan perlu ada keseragaman serta takwim sekolah perlu dikeluarkan bagi mengelak ibu bapa dan pelajar keliru,” katanya.


Pengarang :