EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud
EXCOSELANGOR

Pesakit wabak terima kit penilaian dipantau setiap hari

SHAH ALAM, 11 JUN: Tahap kesihatan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang dibekalkan kit penilaian di rumah oleh Kerajaan Selangor akan dipantau setiap hari, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata sukarelawan terlatih akan menghubungi pesakit untuk mengetahui keadaan hariannya dan memberikan bantuan sekiranya berlaku situasi luar jangka .

Katanya, selain itu pesakit juga perlu mengisi borang pertanyaan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Alat pengukur tingkat oksigen antara peralatan dibekalkan dalam kit itu. Lazimnya jika bacaan kadar oksigen sekitar 96 hingga 100 peratus, maksudnya keadaan pesakit adalah baik, jika sebaliknya tindakan susulan perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Bual Bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘langkah terbaik percepat proses imunisasi di Selangor’ secara langsung di Facebook hari ini.

Di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, sejumlah RM1.25 juta diperuntukkan bagi mengagihkan bakul makanan dan kit penilaian di rumah kepada pesakit Covid-19 yang dikesan melalui saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Kit itu mengandungi pelitup muka KN95, jangka suhu, ubat, kit ujian air liur dan alat pengukur tingkat oksigen.


Pengarang :