Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya pada 25 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Peserta saringan tidak lagi was-was buat ujian calitan

SERI KEMBANGAN, 26 JUN: Jika dahulu Anna Wong agak ragu-ragu terhadap saringan Covid-19 kerana bimbang perhimpunan orang ramai bakal meningkatkan risiko jangkitan dan mencetuskan kluster baharu.

Namun, wanita berusia 24 tahun itu membuktikan sebaliknya apabila buat pertama kali menyertai saringan bersasar anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya semalam.

Anna Wong

Penuntut kolej swasta itu mengakui nekad merasai sendiri pengalaman membuat ujian calitan bersama orang awam selain melihat proses pengambilan sampel dijalankan petugas kesihatan Klinik Selcare.

“Sebelum ini saya hanya buat saringan di klinik swasta kerana tidak mahu beratur panjang dan berhimpun dengan ramai orang. Walaupun sering melihat hebahan program percuma ini di media sosial, tetapi saya seperti kurang yakin.

“Kebetulan hari ini ada program saringan diadakan berdekatan rumah, jadi apa salahnya saya cuba dulu. Jika diikutkan rasa ragu-ragu itu masih ada, namun saya tetap teruskan dan mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Mohd Abu Hanifah Ibrahim

“Sejujurnya, apa yang difikirkan selama ini jauh berbeza. Proses saringan sangat cepat dan teratur malah fasiliti disediakan kepada pengunjung selesa selain dibekalkan makanan serta minuman ,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Seorang lagi peserta, Mohd Abu Hanifah Ibrahim, 35, berkata beliau sanggup meninggalkan seketika tugasan pejabat yang perlu disiapkan di rumah kerana enggan mensia-siakan peluang percuma itu.

K Ganapathy

“Ini pengalaman pertama saya buat saringan selepas tengok ada iklan di Facebook dan ‘curi’ masa kerja sekejap memandangkan rumah pun tidak jauh dari sini.

“Dengan perebakan pantas Covid-19, penting untuk kita buat pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap kesihatan ditambah pula banyak kes tanpa simptom,” kata pembantu tadbir syarikat swasta itu.

Sementara itu, K Ganapathy, 53, berharap masyarakat memanfaatkan program saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri tanpa perlu ke klinik swasta bagi mendapat perkhidmatan yang sama untuk meringankan kos.

“Kalau mereka pergi klinik sudah tentu kena bayar sehingga RM200, jadi ambil peluang ini sebaik-baiknya,” kata bapa empat anak yang turut membawa isteri menjalani saringan tersebut.


Pengarang :