Orang ramai beratur menunggu giliran pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Sukan Klang, Klang pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP penuh bukan halangan ribuan hadir buat saringan

KLANG, 1 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh mulai hari ini tidak menghalang kelancaran program Saringan Komuniti di dua lokasi di sini.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata sebanyak 7,000 individu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dr Muhammad Farhan Rosli menjelaskan seramai 3,800 orang mendaftar di Dewan Sungai Klang manakala baki membabitkan saringan di Dewan Kemunting, Kota Kemuning.

Dr Muhammad Farhan Rosli

“Terdapat 7,000 individu berdasarkan data pradaftar dan kita jangka lebih 5,000 orang datang untuk membuat saringan,” katanya ketika ditemui di Dewan Sukan Klang di sini.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Kandis berpuas hati dengan jumlah kehadiran 1,800 peserta setakat pagi tadi dan dijangka bertambah pada sebelah petang.

“Kita jangka jumlah itu akan bertambah apabila masing-masing mengetahui ia diteruskan selepas ada yang berbelah bahagi kerana menjangka ia ditangguh.

“Alhamdulilah kita mendapat kebenaran dari kerajaan untuk meneruskan program saringan ini kerana kepentingan dalam mengekang penularan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Muhgni.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri diteruskan mengikut jadual sepanjang PKP penuh selama dua minggu.


Pengarang :