Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media selepas melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pertama dan Taman Serendah, Sabak Bernam pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD Sabak Bernam: 3,900 individu disaring, 152 positif Covid-19

SABAK BERNAM, 2 JUN: Semua 3,900 penduduk dari tiga taman perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini telah menjalani saringan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu 152 didapati positif manakala 150 lagi belum menerima keputusan.

“Hari ini adalah hari keempat PKPD di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di mana penduduk di sini telah lengkap di saring dengan 152 didapati positif termasuk tujuh pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan pek makanan kepada penduduk di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sempena Program Agihan Bakul Makanan pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Turut merekodkan satu kematian dari kluster di sini dan seorang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Pada lawatan itu beliau turut mengagihkan 750 pek makanan dan 1,000 barangan basah yang disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kepada penduduk.

“Terdapat lebih 800 rumah tetapi kita edar kepada 750 rumah sahaja kerana selebihnya mereka tidak berada di rumah ketika PKPD dilaksana.

“Untuk makluman mereka ini telah disaring lebih awal dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tahu di mana mereka berada. Kita ikuti tempat ini sebelum PKPD dan saringan menyeluruh telah dibuat,” katanya.

PKPD di tiga taman perumahan itu dikenakan selama 14 hari bermula 30 Mei sehingga 12 Jun ini selepas berlaku peningkatan ketara kes positif di lokalliti itu dalam tempoh yang singkat iaitu 113 kes daripada 1,237 saringan.


Pengarang :