AGENDAAGENSISELANGOR

PKPS: Lot niaga Pasar Borong Selangor tidak boleh disewakan

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemilik lot perniagaan di Pasar Borong Selangor (PBS) tidak dibenar menyewakan premis kepada pihak ketiga, tegas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dalam kenyataan hari ini, agensi itu memandang serius dakwaan seorang peniaga yang diminta mengosongkan premis niaga oleh pemilik lot seperti dilapor sebuah portal berita.

“Siasatan mendapati wanita berkenaan menyewa dengan pemilik lot warga tempatan yang sebelum ini telah diarahkan PKPS untuk menguruskan lot itu sendiri seperti syarat perjanjian asal.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk penarikan balik lot sekiranya mana-mana penyewa di PBS masih enggan menguruskannya sendiri,” katanya.

PKPS juga menafikan laporan portal sama memetik temu bual bersama seorang peniaga wanita lain yang mendakwa 80 peratus penyewa di PBS terdiri daripada warga asing.

“Dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali dan PKPS sedang meneliti keperluan untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan tuduhan seperti ini tidak diteruskan,” katanya.

Menurut PKPS, kedua-dua wanita tersebut mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lot perniagaan dan telah ditemu duga pihak pengurusan pada 9 dan 10 Jun lalu namun keputusan belum dimuktamadkan.

Selain itu, PKPS menjalankan proses pembersihan bagi membendung aktiviti sewa atas sewa atau ‘Ali Baba’ pada November tahun lalu.

“Semua 260 penyewa lot dan lapan premis kedai disiasat, seramai 53 daripada mereka melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Lot-lot bagi individu yang didapati melanggar peraturan seperti menyewakan kepada pihak ketiga atau menggunakan pekerja asing tanpa dokumen sah ditarik balik pihak pengurusan,” katanya.


Pengarang :