Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKS digesa manfaat biaya Selangor Advanced, tingkat aliran tunai syarikat

SHAH ALAM, 14 JUN: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri ini digesa memanfaatkan pembiayaan tunai Selangor Advanced untuk meningkatkan aliran kewangan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berharap inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri membantu sektor PKS memperbaiki kecekapan operasi perniagaan sepanjang tempoh mencabar.

“Selangor Advance adalah program inovatif terunggul malah menjadi negeri paling produktif membantu PKS meskipun kita tidak kaya dengan rizab.

“Kerajaan Negeri sanggup menggunakan sebaik-baiknya sumber yang terhad untuk membantu sektor perniagaan khususnya PKS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan wajar mencontohi usaha Selangor dengan melancarkan inisiatif sama untuk meningkatkan daya saing sektor PKS.

Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal pada Jun tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.

Pada Rabu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana tambahan sejumlah RM200 juta untuk program Selangor Advance demi mengukuhkan daya saing perniagaan sekaligus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

Peruntukan tersebut terkandung di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :