Selangorkini
Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tumpas 10 sindiket along, 38 individu ditahan

SHAH ALAM, 14 JUN: Polis menahan 38 individu daripada 10 sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Selangor pada awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kesemua sindiket terbabit dipercayai beroperasi di Lembah Klang sejak dua minggu ke setahun yang lepas dengan mempromosikan perkhidmatan pinjaman wang melalui iklan pada poster, gegantung dan edaran risalah kepada orang awam.

Beliau berkata sindiket berkenaan menawarkan pinjaman sehingga RM1 juta dengan kadar bunga yang tinggi iaitu 10 hingga 15 peratus sebulan.

“Kesemua suspek berumur 21 hingga 61 tahun itu terdiri daripada 32 lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga lelaki dan seorang wanita warga asing, dengan 17 orang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Selain itu, Arjunaidi berkata terdapat enam kes dilaporkan membabitkan sindiket along berkenaan yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud yang dipromosikan melalui pelbagai platform dalam talian seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram.

“Mangsa tidak mendapat wang sebaliknya mereka diperdaya untuk membuat pinjaman yang tidak wujud contohnya memohon pinjaman RM10,000 tapi perlu mengeluarkan wang sendiri hingga RM15,000,” katanya.

Beliau berkata hasil serbuan yang dilakukan pada 3 hingga 8 Jun lepas itu, pihaknya merampas antaranya wang tunai berjumlah RM57,170, tujuh kenderaan, 72 telefon bimbit, sembilan komputer serta 61 keping kad ATM bank yang dipercayai kepunyaan para peminjam dan salinan rekod peribadi peminjam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 506 KK, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau berkata 12 ahli sindiket itu dituduh di mahkamah pada Jumaat lepas dan hari ini manakala tiga kes lagi iaitu di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Shah Alam berjaya mendapat arahan pertuduhan dan bagi kes-kes lain akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk mendapat arahan pendakwaan.

Sementara itu, Arjunaidi berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan mengesahkan menerima dua laporan berkenaan dua insiden berasingan membabitkan kekasaran berkaitan pesakit Covid-19 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

-BERNAMA


Pengarang :